Ibu dan isteri kepada pemenang pingat emas badminton SU5 Sukan Paralimpik Paris 2024, Cheah Liek Hou, hadir menyambut kepulangan wira negara itu di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) malam semalam.

Jap Joe Tjin, ibu kepada Liek Hou, berkata dia hanya berharap anak kesayangannya itu akan pulang dengan selamat sambil mengakui akan mengadakan sambutan sederhana bagi meraikan kejayaan terbaru itu.

"Bagi saya apa yang perlu adalah dia selamat pulang ke tanah air," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Untuk keluar makan atau apa-apa sahaja sambutan, kalau ada masa barulah kami akan pergi.

"Kami akan meraikannya secara sederhana."

Dalam pada itu, isteri Liek Hou, Dewi Febriana, berasakan emas yang diperoleh suaminya itu amat bernilai selepas pengorbanan yang dilakukannya menjelang temasya itu, di mana Liek Hou hanya dapat pulang ke rumah seminggu sekali.

"Emas ini benar-benar amat besar dan berharga buat saya. Ia bukan mudah kerana Sukan Paralimpik diadakan empat tahun sekali.

"Dia, hari ini, pada usia 36 tahun, masih boleh mendapatkan pingat emas, bagi saya sendiri ia amat luar biasa.

"Pengorbanan terbesarnya, sewaktu dia berada dalam kem, dia hanya dapat pulang ke rumah seminggu sekali.

"Walaupun dia sudah letih, dia setiap Sabtu itu akan sentiasa membawa kami keluar makan malam dan keesokannya membawa kami keluar berjalan sebelum pulang ke kem," katanya.