Paralimpik Paris 2024: Cheah Liek Hou mahu derma kepada siapa sebahagian ganjaran RM1 juta?

Muzaffar Musa
September 4, 2024 12:37 MYT
Pemenang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik Paris 2024, Cheah Liek Hou, sedia memanfaatkan ganjaran RM1 juta yang akan diterimanya ke jalan kebajikan untuk membantu masyarakat.
Liek Hou bergelar juara acara perseorangan lelaki badminton SU5 di Arena Porte de La Chapelle awal pagi semalam dengan menewaskan wakil Indonesia, Suryo Nugroho, 21-12, 21-15, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Tokyo 2020.
Sebagai pemenang pingat emas, pemain berusia 36 tahun itu akan menerima ganjaran RM1 juta di bawah insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).
Menganggap kejayaannya memenangi emas dalam dua edisi berturut-turut itu dibantu banyak pihak, Liek Hou bersedia untuk memulangkannya kepada masyarakat.
"Yang pertama, apa yang saya mahu lakukan adalah untuk memulangkannya kepada masyarakat, jadi saya akan menyumbangkan sedikit sebanyak ke jalan kebajikan buat masyarakat," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Saya juga pernah melakukannya ketika memenangi pingat emas (Sukan Paralimpik) yang saya menangi di Tokyo tiga tahun lalu.
"Saya rasa rezeki ini bukan saya seorang sahaja yang berjaya dapatkannya, jadi saya mahu menyumbangkannya semula ke arah kebajikan," katanya.
#Cheah Liek Hou #Badminton para #Sukan Paralimpik #Paralimpik Paris 2024
;