Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, mengotakan janjinya untuk melepaskan jawatan daripada badan induk tersebut berkuat kuasa hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat secara rasmi dalam satu sidang media tengah hari tadi selepas sebaik mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM Kali Ketiga bagi tahun 2024.

Begitupun, Norza menjelaskan bahawa dia akan terus aktif menghulurkan sumbangan terutama membabitkan jawatan lainnya untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

"Saya rasa sudah cukup memainkan peranan ini kerana sebagai presiden badminton Asia, saya juga akan (terlibat) dalam Jawatankuasa Olimpik Asia. Saya juga merupakan anggota pemantau bagi Jawatankuasa Aichi-Nagoya.

"Saya rasa sudah cukup untuk saya menyumbangkan sesuatu dalam sukan untuk 3-4 tahun akan datang.

"Selepas itu saya akan undur diri," katanya.

Ketika ini, Timbalan Presiden Satu, Datuk V. Subramaniam, akan bertindak memangku kekosongan peranan itu sehingga pemilihan exco baru pada pertengahan tahun depan.

Sebagai rekod, Norza sudah memegang jawatan itu sejak 2017 yang menyaksikan 36 gelaran Jelajah Dunia BWF dimenangi pemain itu selain kemajuan lain yang melibatkan atlet negara.

Dan hajat untuk melepaskan posisi itu ditunaikan sejurus tamat kempen skuad negara dalam Sukan Olimpik Paris 2024, dua minggu lalu.