Misbun Sidek tidak pernah setuju kontrak ditamatkan BAM
Muzaffar Musa
Julai 31, 2023 19:50 MYT
Julai 31, 2023 19:50 MYT
Timbul kekeliruan apabila Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek, menafikan bahawa dia meninggalkan jawatan itu atas dasar persetujuan bersama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sebelum ini, Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, berkata keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa khas yang diketuai olehnya susulan prestasi hambar skuad badminton remaja dalam Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Kontrak Misbun, yang kembali menyertai BAM pada 2017, sepatutnya tamat pada hujung tahun ini tetapi ia ditamatkan Jumaat lalu atas dasar persetujuan bersama.
Bagaimanapun, Misbun, dalam satu sidang media di ibu negara hari ini, menafikan bersetuju untuk melepaskan jawatan itu lebih awal.
"Sebenarnya kenyataan itu tidak betul, jadi hari ini saya mahu memperbetulkannya," kata Misbun seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Sebenarnya saya tidak bersetuju dengan keputusan ini. Yang keduanya, dulu sewaktu saya di luar (BAM), saya telah dijemput dan dipujuk beberapa kali untuk membantu BAM, iaitu daripada Tan Sri Norza Zakaria (Presiden BAM) sendiri dan saya sendiri juga ke rumahnya untuk menandatangani kontrak.
"Tetapi apabila diberitahu mengenai situasi ketika ini, saya ada rasa terkilan kerana bukan dia sendiri yang memberitahu saya dan ia daripada Datuk Subra," katanya.
Mengulas mengenai kegagalan anak buahnya dalam Kejohanan Remaja Asia, Misbun menambah: "Saya belum ada idea lagi mengenai persoalan itu tetapi ini adalah jiwa saya, jiwa saya adalah badminton yang rasanya masih belum berhenti lagi. Saya mahu membantu mereka (pemain remaja).
"Yang bahagian atas di Kejohanan Remaja Asia, mereka tidak mencapai KPI (indeks prestasi utama) itu tetapi yang di bawah mereka, ada beberapa juara dan agak sayang untuk mereka.
"Mereka dalam proses pembinaan, pembangunan, itulah yang paling susah sekali.
"Anda memberikan saya tempoh yang pendek dan saya sudah bercakap banyak kali, kalau memberikan saya sesuatu program, jangan diganggu," katanya.