Masters Malaysia: Yeen Yuan-Valeree dikejutkan beregu wanita lebih kerdil

Shaiful Shamsudin
Julai 5, 2022 19:06 MYT
Low Yeen Yuan-Valeree Siow berputih mata untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters Malaysia apabila disingkirkan beregu wanita di ranking ke-135 dunia, Febby Gani-Ribka Sugiarto, hari ini.
Seteru dari Indonesia itu sebaliknya lebih mendominasi pertarungan di Axiata Arena, Bukit Jalil, itu apabila mengutip mata demi mata atas kesilapan pemain Malaysia.
Jurang besar dibuka untuk mereka menang mudah set pertama 21-12 ke atas beregu negara di ranking ke-64.
Yeen Yuan-Valeree kemudian bangkit dalam set kedua dan memberi saingan apabila mengawal gelanggang dan kurang membuat kesilapan.
Namun, keyakinan beregu Indonesia itu lebih tinggi dan tidak teragak-agak dengan permainan mereka untuk kembali mendahului Yeen Yuan-Valeree yang akhirnya terpaksa akur mengakhiri kempen dengan kesudahan 17-21.
Sementara itu, beregu lelaki pula menyaksikan Chang Yee Jun-Yap Roy King berdepan lawan dari Ireland, Joshua Magee dan Paul Reynolds.
Mungkin dalam pusingan pertama ini, ranking bukan pertaruhan penting memandangkan lawan mereka berada pada ranking ke-62 sementara beregu negara di kedudukan ke-121.
Pemain negara tidak berdepan kesukaran untuk kemenangan mudah 21-14 dalam set pertama.
Begitupun, Magee-Reynolds berusaha mengheret permainan ke set penentuan tetapi berdepan tentangan sengit.
Selepas diheret ke dius, kemenangan tipis 22-20 akhirnya menjadi milik Yee Jun-Roy King.
Keputusan lain:
Beregu wanita
Chen Qing Chen-Jia Yi Fan kalahkan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien 21-17, 23-21
Anna Cheong-Teoh Mei Xing kalahkan Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 21-19, 21-17
Beregu lelaki
Man Wei Chong-Tee Kai Wun kalahkan Azryin Ayub-Lim Khim Wah 21-13, 21-14
#badminton #Masters Malaysia
;