BADMINTON
Masters Malaysia BWF: Tee Kai Wun-Man Wei Chong lolos atasi pilihan dari Denmark
Gandingan beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong, melangkaui jangkaan ramai apabila menyingkiran pilihan ketujuh Kejohanan Badminton Masters Malaysia BWF iaitu gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen 25-23, 21-16, sebentar tadi.
Tambah manis, ini kejohanan pertama mereka selepas Kai Wun mengalami kecederaan di bahagian kaki selepas Kejohanan Badminton Asia, bulan lalu.
"Pihak lawan memberi asakan awal jadi memberi tekanan buat kami.
"Tetapi dengan kemenangan set pertama, kami berasa yakin untuk menyaingi dalam set kedua," kata Kai Wun.
Tambah Wei Chong: "Dengan pihak lawan lebih kuat dan memiliki pengalaman lebih luas, kami hanya berjuang dan tidak fikir terlalu banyak."
Dengn itu, mereka akan menuruti langkah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang menumbangkan wakil China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang, 21-16, 21-18.
Sementara itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See, menjadikan faktor beraksi di Axiata Arena, Bukit Jalil sebagai sandaran untuk mara ke undian utama dengan mengalahkan Adnan Maulana-Nita Marwah 21-19, 22-20.