Masters Malaysia BWF: Ng Tze Yong tekad buktikan hasil persiapan

Shaiful Shamsudin
Mei 22, 2023 21:38 MYT
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mencabar Ng Tze Yong untuk memperagakan aksi memberangsangkan dalam Kejohanan Masters Malaysia BWF 2023.
BAM sebulat suara tidak menyenaraikan perseorangan lelaki itu dalam sebarang perlawanan Piala Sudirman walaupun turut dalam rombongan ke Suzhou, minggu lalu.
Sempena kempen di Axiata Arena, Bukit Jalil, yang peringkat kelayakannya bermula esok, Tze Yong dijangka berdepan laluan penuh berliku apabila bertemu Kenta Nishimoto seawal pusingan pertama.
"Kali ini Tze Yong tidak dijadualkan untuk bertanding dan memang bukan sesuatu yang kami inginkan.
"Dengan persiapan pasukan, inilah pendekatan yang kami terpaksa ambil demi utamakan Malaysia dalam Piala Sudirman.
"Kami akan cuba bantu Tze Yong dapatkan rentak permainannya semula," katanya sebaik di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Begitupun, pemain muda itu hanya mahu memberi tumpuan kepada Masters Malaysia sambil menyatakan sudah bersedia sepenuhnya.
"Saya sudah buat persiapan yang bagus jadi saya harap dapat main dengan bagus dalam kejohanan ini.
"Saya tidak pernah lawan dengan Kenta jadi saya akan berbincang dengan jurulatih.
"Setakat ini (tiada strategi tertentu), selepas main barulah saya akan lebih mengetahui apa (aspek) yang perlu ditingkatkan," katanya di Axiata Arena hari ini.
#BAM #BWF #Ng Tze Yong #Masters Malaysia BWF
;