BADMINTON

Masters Malaysia BWF: Beregu campuran 'tutup kedai' dalam pusingan pertama

Shaiful Shamsudin 24/05/2023 | 14:00 MYT
Harapan terakhir kem negara dalam kategori beregu campuran dalam Kejohanan Masters Malaysia BWF tamat apabila gandingan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, tewas dalam pusingan pertama.
Tang Jie berkongsi faktor kekalahan perlawanan di Axiata Arena, Bukit Jalil itu adalah disebabkan kekalahan 20-22 dalam set pertama yang menyentak gandingan di ranking ke-20 dunia itu.
Dalam set pertama, mereka terikat 20-20 dengan Rinov Rivaldy-Pitha Mentari, namun tindakan Tang Jie untuk melepaskan servis pihak lawan dengan harapan ia keluar garisan jelas tidak seperti yang dirancang.
Ia secara tidak langsung membolehkan pencabar dari Indonesia, Rinov dan Pitha memenangi set pertama 22-20, sebelum bangkit menawan set kedua 21-11.
Rinov-Pitha mengatur permainan lebih mantap untuk menamatkan perlawanan 22-20, 11-21, 21-15.
"Jurulatih kami mengingatkan agar meningkatkan rentak yang menyumbang kepada kemenangan kami dalam set kedua.
"Kami sudah berikan fokus dalam set ketiga cuma kemenangan bergantung kepada siapa yang lebih berani dan tekal dan mata penting, " kata Tang Jie.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, jelas kecewa apabila kesilapan mudah pada waktu kritikal untuk langkah mereka terhenti sekali lagi dalam pusingan awal.
Mereka yang pernah menduduki ranking kelima dunia terpaksa menerima kekalahan berturut-turut sejak awal musim 2023.
Walau tewas menerusi straight set ke atas beregu campuran dari Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran, Kian Meng sebaliknya tetap ingin memberi pujian dalam aksi keseluruhan yang ditampilkan pada hari ini selain tidak ingin kehilangan fokus dalam kategori beregu lelaki yang turut disertainya.
"Secara keseluruhannya kami bermain dengan baik pada hari ini, lebih baik daripada perlawanan terdahulu tapi kami gagal pegang mata-mata penting.
"Itu yang mengecewakan kami.
"Pertarungan kami sebelum ini agak sengit tapi ia bergantung kepada prestasi hari tersebut," katanya.
#badminton #BAM #Masters Malaysia BWF
;