Perseorangan negara, Leong Jun Hao, mencipta sensasi apabila menumbangkan jaguh India, Lakshya Sen, dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Jepun di Kumamoto sebentar tadi.
Berdasarkan ranking semasa, Sen berada di tangga ke-17 dunia manakala Jun Hao pula di tangga ke-31 tetapi aksi di atas gelanggang memaparkan kisah berbeza.
Aksi berlangsung cukup sengit dalam set pertama, di mana Jun Hao dua kali berada di kedudukan selesa 5-1 dan 16-13 tetapi tewas 22-20.
Dalam set kedua, perseorangan berusia 25 tahun itu tidak mengulangi kesilapan sama apabila memanfaatkan pendahuluan 18-14 untuk menang 21-17 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Jun Hao sentiasa ketinggalan pada pertengahan set ketiga tetapi sebaik kedudukan terikat 13-13, dia mula mempamerkan dominasi untuk menang 21-16 selepas secara keseluruhan bertarung selama sejam dan 14 minit.
Jun Hao seterusnya akan menantikan pemenang di antara wakil Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo, dan perseorangan tuan rumah, Koki Watanabe, bagi penentuan ke suku akhir esok.
Muzaffar Musa
Wed Nov 13 2024