Masters Jepun: Jun Hao fokus pemulihan selepas laluan berliku ke final

Shaiful Shamsudin
November 16, 2024 17:20 MYT
Leong Jun Hao mahu memusatkan tumpuan untuk memulihkan tenaganya selepas menempuhi laluan sukar menuju ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Masters Jepun.
Jun Hao -- yang kariernya kerap dibelenggu kecederaan sebelum ini-- akan mengatur pertemuan dengan pencabar dari China, Li Shin Feng, yang juga pilihan ketujuh kejohanan di Kumamoto itu esok.
Selepas mencipta kemenangan kedua ke atas pencabar dari Indonesia itu, pemain perseorangan kebangsaan itu berkata: "Selepas sekian lama, saya dapat mara ke perlawanan akhir kejohanan besar.
"Saya perlu buat persiapan rapi untuk perlawanan esok. Buat masa ini, saya perlu fokus kepada pemulihan memandangkan mengharungi aksi sukar sebelum ini," katanya selepas perlawanan.
Jun Hao dipaksa bermandi keringat berikutan kebangkitan dituntut, lebih-lebih lagi dalam set ketiga yang menguji kekuatan mentalnya kerana jurang mata yang jauh.
"Saya tidak banyak fikir, saya rasa tidak rugi apa-apa dan bermain satu persatu mata.
"Saya perlu berjuang untuk setiap mata, tidak memberikan mata mudah kepadanya dan membuatnya dalam kesukaran.
"Saya mula mendapat momentum dan akhirnya dapat menjelmakan permainan sendiri.
"Apa yang perlu dilakukan ialah kembalikan bulu tangkis melepasi jaring," katanya.
;