Perjalanan beregu campuran profesional negara, Goh Soo Huat-Shevon Lai, dalam Kejohanan Badminton Masters Indonesia tamat di peringkat suku akhir apabila tewas kepada pasangan pilihan ketiga dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, di Jakarta sebentar tadi.
Berdasarkan rekod pertemuan lalu, pasangan negara menang dua daripada lima pertembungan dua beregu berkenaan tetapi kali ini, ia jelas memihak Gicquel dan Delrue.
Aksi pada awal set pertama berlangsung sengit dengan kedua-dua pasangan saling berkejaran mata sehingga terikat 10-10 tetapi selepas itu, wakil Perancis berkenaan tidak pernah ketinggalan sebelum menang 21-16.
Intensiti sama berkekalan dalam set kedua di mana kedua-dua beregu bersaing hebat memungut mata dan pada satu ketika terikat 18-18 tetapi Gicquel dan Delrue lebih bernasib baik pada penghujung saingan untuk ke separuh akhir dengan kemenangan 21-19 selepas bertarung selama 43 minit.
Muzaffar Musa
Fri Jan 27 2023