Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, mencipta kejutan terbesar dalam Kejohanan Badminton Masters China apabila menumbangkan beregu pilihan kedua tuan rumah, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, di Shenzen sebentar tadi.
Rekod di atas kertas menyaksikan perbezaan 20 anak tangga di antara beregu negara dengan lawan di ranking ketiga dunia itu dan perlawanan dalam set pertama memperlihatkan betapa mereka kerap ketinggalan sebelum tewas 16-21.
Bagaimanapun, Pang Ron dan Yu Sin mempamerkan semangat juang luar biasa dalam set kedua untuk menekan lawan secara berterusan dan ketika mendahului 10-9, mereka memperoleh lapan mata berturut-turut untuk jauh meninggalkan jaguh China itu di kedudukan 18-9 sebelum menang 21-14.
Aksi sengit itu berterusan dalam set ketiga dan biarpun pasangan negara itu memperoleh sedikit keselesaan di kedudukan 13-9 mereka membenarkan lawan mengikat 13-13 dan selepas itu, kedua-dua beregu hanya dibezakan satu mata sehingga ke kedudukan 19-19.
Pang Ron dan Su Yin ternyata memiliki ketenangan untuk memenangi dua mata terakhir untuk menempah tempat ke suku akhir dengan kemenangan 21-19 selepas secara keseluruhan bertarung selama 51 minit.
Menanti mereka bagi penentuan ke separuh akhir esok ialah beregu Taiwan, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui.
Muzaffar Musa
Thu Nov 21 2024