Susulan perpisahan mengejut di antara Lee Zii Jia dan jurulatihnya, Indra Wijaya, bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim, berpandangan perseorangan lelaki utama negara itu perlu mencari jurulatih secepat mungkin menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia awal tahun depan.
Selepas kira-kira sembilan bulan membimbing Zii Jia selaku pemain profesional, Indra hari ini mengumumkan bahawa dia tidak lagi bersama pemain nombor dua dunia berkenaan.
Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Roslin berkata: "Dengan keadaannya yang berseorangan di luar sana dan Indra Wijaya juga sudah tidak bersamanya, saya rasa persediaannya bagi menghadapi Terbuka Malaysia pada Januari depan mungkin terjejas.
"Bagi persediaannya, sudah pasti dia memerlukan seorang jurulatih untuk memantau programnya.
"Bagaimanapun, daripada segi dalam kejohanan, saya rasa ia tidak menjadi masalah besar buatnya kerana dia sudah pasti boleh mengawal situasi dalam permainan.
"kerana dalam kejohanan, hanya sedikit peratusan jurulatih dapat membantu tetapi untuk latihan, ia boleh dikatakan agak khusus," katanya.
Muzaffar Musa
Mon Nov 28 2022