BADMINTON
Koo Kien Keat: Cari semula semangat seperti Sukan Olimpik Paris



Segala masa depan karier badminton terletak di tangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan jurulatih mereka.
Pandangan itu disuarakan legenda beregu lelaki negara, Koo Kien Keat, susulan kecederaan pergelangan tangan Aaron yang kembali menjelang jelajah Eropah bagi Masters Orleans dan Seluruh England 2025.
Kien Keat turut yakin dengan kemampuan pemegang gangsa Sukan Olimpik dua kali itu, jika mereka kembali dengan semangat seperti di Paris lalu.
Kien Keat berkata sekiranya kecederaan Aaron mampu dikawal dan tidak memberi kesan buruk, mereka masih boleh meneruskan misi memburu kejuaraan dalam Seluruh England 2025.
Kepakaran mereka ditagih negara selaku naib juara edisi lalu apabila tewas di tangan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto.
"Kalau serius sangat, mereka patut rehat lebih lama sebagai persediaan untuk pencapaian yang terbaik.
"Tapi kalau Aaron cakap dia boleh bermain (maka) dia tak patut menggunakannya sebagai alasan.
"Dan saya memahami andai mereka tidak ikut serta, akan timbul banyak ulasan negatif.
"Tetapi karier mereka di tangan sendiri dan jurulatih. Kalau terpaksa bermain dan boleh menyebabkan kecederaannya menjadi lebih teruk, jadi terpulang kepada mereka sendiri," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Tambahnya, di atas kertas tiada masalah untuk Aaron-Wooi Yik meraih gelaran, namun mereka perlu berwaspada dengan kebangkitan beregu lain yang mampu memberikan tentangan sengit di Birmingham kelak.
"Ini bukan satu tekanan, saya harap mereka bermain seperti semangat dalam Sukan Olimpik.
Semangat mereka dapat dilihat di atas gelanggang. Kalau dalam semangat tinggi, peratusan kemenangan mereka memang tinggi tapi kalau rendah, nampak permainan mereka agak goyang.
"Itulah yang harus dipertingkatkan," katanya.