BADMINTON
Konflik Lee Zii Jia-Indra Wijaya selesai secara baik
Konflik di antara perseorangan badminton utama negara, Lee Zii Jia, dengan bekas jurulatihnya, Indra Wijaya, kini menemui penamatnya.
Dalam satu sebaran media yang dikeluarkan jurulatih itu hari ini, kedua-dua pihak berkenaan bersetuju untuk menamatkan konflik itu secara baik di luar mahkamah.
"Berhubung dengan tuntutan yang difailkan oleh Encik Indra Widjaja (Indra) terhadap LZJ Management Sdn Bhd (LZJ Management), pihak-pihak dengan suka cita memaklumkan bahawa mereka telah bersetuju untuk penyelesaian luar mahkamah secara baik," kata kenyataan itu.
"Perpisahan antara LZJ Management dan Indra telah terhasil semata-mata atas pertimbangan oleh pasukan LZJ tentang falsafah, kaedah kejurulatihan dan latihan LZJ.
"Perpisahan antara LZJ Management dan Indra tidak mempunyai kaitan dengan kaedah kejurulatihan dan prestasi Indra di bawah kontrak pekerjaan dan pihak-pihak berharap tidak akan timbul sebarang spekulasi mahupun andaian berhubung perkara ini dan mereka mengucapkan selamat maju jaya terhadap
karier professional masing-masing."