Kejohanan Badminton Dunia: Pearly-M. Thinaah fokus pertingkat kualiti permainan

Ammar Hakim
Ogos 11, 2022 18:27 MYT
'Langkah demi langkah' itu pendekatan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022, Pearly Tan-M. Thinaah, menjelang Kejohanan Badminton Dunia yang bakal berlangsung dari 22 sehingga 28 Ogos ini.
Walaupun meraih dua pingat emas di bumi Birmingham -- ternyata ia bukan alasan untuk keduanya memandang mudah layan mereka nanti kerana cabaran di Tokyo tentu berbeza sama sekali.
Berdasarkan undian Pearly-M. Thinaah mendapat bye bagi aksi di pusingan pertama manakala bakal menanti mereka di pusingan kedua, sama ada rakan senegara, Low Yeen Yuan-Valeree Siow ataupun wakil India.
Di atas kertas cabaran sebenar Pearly-M. Thinaah bakal bermula pada pusingan ketiga, di mana mereka berkemungkinan bertemu gandingan pilihan kelima kejohanan, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Rekod pertemuan menyaksikan kemenangan lebih berpihak kepada gandingan Jepun itu apabila mempunyai rekod lima kali menang tanpa tewas ke atas Pearly-M. Thinaah.
"Kami mahu mengambil langkah demi langkah. Memberikan fokus kepada permainan kami sendiri. Saingan di Kejohanan Dunia agak sukar dan rata-rata yang beraksi berada di kelompok 10 terbaik. Terdapat perkara yang boleh diperbaiki dalam kemampuan kami terlebih dahulu," kata Pearly.
"Persiapan agak singkat kerana banyak kejohanan sebelum ini. Kami tidak meletakkan sasaran kerana mengutamakan prestasi perlawanan demi perlawanan," kata M. Thinaah.
;