Kejohanan Badminton Asia: Sze Fei-Nur Izzuddin pamer semangat juang tinggi sebelum muncul naib juara
Muzaffar Musa
April 14, 2024 16:33 MYT
April 14, 2024 16:33 MYT
Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tewas kepada gandingan pilihan ketiga dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, dalam final Kejohanan Badminton Asia di Ningbo sebentar tadi.
Turun dengan status bukan pilihan, ramai mengharapkan pasangan negara itu dapat melakukan satu lagi kejutan dalam penentuan gelaran berkenaan dan mereka mempamerkan aksi melawan sejak awal permainan untuk mengejar mata lawan tetapi selepas kedudukan terikat 12-12, mereka tidak lagi dapat memintas untuk akur tewas 17-21 dalam set pertama.
Aksi lebih kemas dipamerkan Sze Fei dan Nur Izzuddin dalam set kedua untuk mereka menguasai sejak pertengahan permainan sebelum meraih kemenangan 21-15, sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.
Bagaimanapun, selepas mendahului 5-1 dalam set penentuan itu, mereka membenarkan lawan memperoleh lapan mata berturut-turut untuk ketinggalan 9-5 dan selepas itu, mereka tidak lagi dapat bersaing untuk akur bergelar naib juara dengan kekalahan 10-21.