Kejohanan Badminton 100Plus Antara Negeri Kebangsaan 2024: Pulau Pinang muncul juara
Ammar Hakim
Oktober 29, 2024 18:44 MYT
Oktober 29, 2024 18:44 MYT
Pulau Pinang akhirnya dinobatkan selaku juara Kejohanan Badminton 100Plus Antara Negeri Kebangsaan 2024 menerusi acara lelaki bawah 16 tahun selepas menewaskan pasukan Melaka 2-1.
Pulau Pinang yang hanya menamatkan saingan di kedudukan keempat tahun lalu nyata mahu membalas kekecewaan tersebut selepas membenam cabaran juara bertahan, Kedah di separuh akhir.
Dalam aksi final berdepan Melaka, mereka memungut mata kemenangan pertama menerusi perseorangan lelaki, Kong Wei Xiang yang menewaskan Cheng Yu Yang 21-19 dan 21-16.
Bagaimanapun, laluan juara buat Pulau Pinang tidak hadir dengan mudah selepas melaka melakukan kebangkitan menerusi acara beregu lelaki hasil gandingan Ungku Ameer Alif Ungku Mohamed Nur Firdaus-Syed Harraz Muzir mencatat kemenangan straight set ke atas Khaw Kai Shyang-Low Quan Yi 21-17, 21-18.
Namun Louis Lee Qi Jun akhirnya menokhtahkan sisa perjuangan melaka dalam aksi perseorangan lelaki kedua dengan mencatat kemenangan ke atas Wan Muhamad Darwisy Wan Hadelee juga dengan aksi straight set 21-15 dan 21-17.
Dalam acara wanita bawah 16 tahun pula menyaksikan pasukan Perak berjaya mengenepikan cabaran Kuala Lumpur 2-1 untuk muncul selaku juara.