Jonassen akan bantu Rexy pacu gemilang skuad badminton kebangsaan

Aleqha Zainal
November 23, 2024 18:21 MYT
Teka-teki mengenai siapa yang akan mengemudi skuad perseorangan badminton negara akhirnya terjawab apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih Denmark, Kenneth Jonassen.
Jonassen akan secara rasmi memulakan tugasnya pada 4 Januari 2025 dengan kontrak selama empat tahun.
Menurut BAM, rekod cemerlang selama 13 tahun mengendalikan pasukan Denmark, menjadi kriteria utama pelantikan Jonassen, yang merupakan pemenang pingat perak Piala Thomas pada 2004 dan 2006.
"Sebagai sebahagian daripada peranannya, Jonassen akan memantau kedua-dua bahagian perseorangan lelaki dan wanita serta bekerjasama rapat dengan Rexy Mainaky [Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM)] dalam merangka program pembangunan perseorangan Malaysia yang komprehensif dan berjangka panjang.
"Kenneth akan melaporkan diri kepada Rexy dan bekerjasama rapat dengannya kerana Rexy merupakan ketua dalam pasukan ini," kata Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam.
Sementara itu, turut diumumkan ialah pelantikan bekas presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria, sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup BAM.
Ia dimaklumkan oleh Subramaniam dalam sidang media mesyuarat khas badan induk itu di ABM hari ini.
#badminton #Persatuan Badminton Malaysia #Rexy Mainaky #Akademi Badminton Malaysia #Kenneth Jonassen
;