BADMINTON
Jelajah Akhir BWF: Zii Jia tepati ramalan lakar kemenangan kedua
Perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia terus menepati ramalan apabila meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan B apabila mengalahkan pemain Perancis, Toma Junior 21-13, 21-19 dalam saingan Jelajah Akhir BWF.
Bagaimanapun, di sebalik kemenangan tersebut, Zii Jia berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, bahawa dia masih tidak berpuas hati dengan prestasinya apabila terlalu banyak kesilapan mudah yang telah dilakukan ketika perlawanan tersebut.
"Saya mengawal set pertama namun kerap melakukan kesilapan dalam set kedua. Saya sendiri tidak berpuas hati dengan apa yang dipamerkan dan mahu memperbaikinya menjelang aksi berikutnya," kata Zii Jia.
Iklan
Zii Jia kini bakal menentang pemain India, Srikanth Kidambi untuk perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B yang sudah pasti menjadi perlawanan paling sengit untuk Zii Jia dalam kumpulan tersebut.
Zii Jia harus meraih kemenangan pada perlawanan tersebut untuk menjadi juara kumpulan supaya mempunyai laluan lebih mudah ketika aksi separuh akhir apatah lagi dengan ketiadaan jaguh dunia, Kento Momota dan pemain Denmark, Rasmus Gemke.
Srikanth Kidambi jelas pihak lawan yang sukar buat Zii Jia apabila dia hanya mampu melakar kemenangan tipis ke atas pemain India itu dengan keputusan 21-19, 22-20 dalam Terbuka Hylo, Jun lalu.
"Perlawanan semestinya akan menjadi sukar, saya berharap untuk melakukan yang terbaik memastikan kemenangan," katanya lagi.
Must-Watch Video