BADMINTON
Ini semua sebab Encik Rumsani -- Gagal ke SSBJ, pernah putus asa, Nur Izzuddin kini pemain nombor dua dunia
Jaguh badminton negara, Nur Izzuddin Rumsani, mendedahkan bahawa dia pernah gagal menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pernah berputus asa terhadap sukan badminton.
Bagaimanapun, bapanya, Rumsani Abdul Rahman, menjadi figura penting dalam memastikan dia meneruskan usahanya, yang telah dimulakannya sejak berusia lima tahun.
Hasilnya, Nur Izzuddin berhasil menembusi skuad kebangsaan pada usia 18 tahun dan kini bergelar beregu lelaki nombor dua dunia bersama pasangannya, Goh Sze Fei.
Iklan
Dalam satu temu bual menerusi audiosiar di saluran Youtube bekas pemain negara, Ameer Zainuddin, dia berkata: "Ini semua disebabkan bapa saya, Encik Rumsani, dia dulu bermain badminton juga ketika zaman mudanya. Dia mahu anak-anaknya bermain badminton.
"Saya pergi ke pemilihan SSBJ tetapi tidak terpilih. Ayah selalu memberikan dorongan tidak kira saya kalah atau menang. Mungkin dia nampak sesuatu dalam diri saya, jadi dia tidak mahu saya mensia-siakan bakat yang ada.
"Dia terus memaksa saya meneruskan latihan, walaupun saya sudah malas untuk melakukannya."
Pada usia 18 tahun, Nur Izzuddin terpilih untuk menyertai sesi latihan ke skuad kebangsaan.
Ketika itu, Nur Izzuddin berkata dia sudah pun berputus asa untuk mengejar tempat dalam skuad kebangsaan.
"Benar, sejak mendaftar untuk menyertai sesi pemilihan itu pun saya sudah rasa tidak mahu pergi.
"Tetapi, bapa saya menasihatkan saya untuk menyertainya sebagai jalan terakhir dan jika tidak berjaya, saya akan menyambung pelajaran.
"Ketika hadir ke sesi pemilihan itu, memang ramai pemain, ada juga yang dari Sabah dan Sarawak, saya rasa seperti sudah tiada harapan kerana saya sudah tidak berlatih selama dua atau tiga bulan.
"Saya sudah kembali ke kereta dan mahu balik, tidak mahu buang masa."
Pada akhirnya, Nur Izzuddin menyertai sesi pemilihan itu dan terpilih menyertai skuad kebangsaan.
Selebihnya, ia hanya kisah sejarah perjalanan agung pemain itu sehingga kini menjadi jaguh elit dunia.
Must-Watch Video