Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj, meluahkan kekecewaannya terhadap beberapa kesilapan individu yang dilakukan pemain sehingga Malaysia tewas 0-3 kepada Ireland dalam separuh akhir Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan semalam.
Biarpun ramai tonggak utamanya cedera dalam kejohanan kali ini, Arul berasakan jurang di antara pasukannya dengan Ireland tidak terlalu jauh, cuma siri kesilapan yang dilakukan ketika bertahan menyebabkan keputusan perlawanan itu berubah memihak lawan.
"Memang kecewa dengan kekalahan 0-3 ini," katanya kepada Astro Arena.
"Walaupun kami menguasai permainan dan memperoleh lebih banyak pukulan sudut penalti, kami tidak dapat mempamerkan permainan kami dengan sepenuhnya.
"Masih ada kekurangan daripada segi usaha dan tenaga, saya fikir mereka menjaringkan gol disebabkan kesilapan kami.
"Walaupun Hafizuddin (Othman, penjaga gol) banyak menyelamatkan keadaan, dua gol yang dibolosi mereka memang sukar diselamatkan kerana ia situasi tiga lawan dua.
"Tetapi saya fikir Hafiz telah melakukannya dengan amat baik cuma ada kekecewaan di bahagian pertahanan daripada segi kawalan bola," katanya.
Malaysia seterusnya akan bertemu Korea Selatan dalam penentuan tempat ketiga hari ini.
Muzaffar Musa
Sun Dec 04 2022