BADMINTON
Hendrawan akan pikul peranan berbeza -- Chin Chai
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi bayangan bahawa jurulatih skuad perseorangan lelaki, Hendrawan, akan ditukarkan peranan bagi memastikan dia terus bersama dengan badan induk itu hingga kontraknya tamat Disember tahun depan.
Masa depan jurulatih itu dalam skuad negara menjadi tanda tanya selepas pemain di bawah seliaannya, Datuk Lee Chong Wei, mengumumkan persaraan, 13 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai, menjelaskan belum ada tawaran dikemukakan daripada negara jiran untuk memancing khidmat jurulatih kelahiran Indonesia berkenaan dan dia akan dikekalkan dalam BAM dengan peranan berbeza.
Iklan
Bagaimanapun, peranan baru itu akan diputuskan dalam Mesyuarat C&T BAM minggu depan.
"Dia boleh mengajar di mana-mana (bahagian) kerana kontraknya masih berjalan.
"Kami akan berbincang di mana (jawatankuasa) C&T akan menjaga skuad kebangsaan manakala Jawatankuasa Pembangunan akan menjaga SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil) di bawah Kwan Yoke Meng.
"Kami akan mengadakan perbincangan dalaman kerana Mesyuarat C&T akan diadakan Jumaat ini manakala Mesyuarat Majlis akan diadakan pada Sabtu ini," katanya.
Dalam masa sama, Chin Chai juga optimis perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, akan menyertai semula kem negara untuk menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Switzerland, Ogos depan.
Juara remaja dunia itu dikhabarkan sudah menunjukkan tanda-tanda positif selepas mengalami masalah berkaitan perut yang kronik hingga dikecualikan daripada sesi latihan.
"Keadaan Jin Wei sudah berlarutan lebih kurang lapan bulan.
"Kami sudah mendapatkan bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ISN (Institut Sukan Negara).
"ISN sudah menghantar seorang doktor untuk memantau keadaannya.
"Saya sudah berjumpa jurulatihnya, Tey Seu Bock, dan di memberitahu bahawa keadaannya nampak lebih baik dan sudah lebih kerap datang ke sesi latihan.
"Dia berpeluang besar untuk kembali," tambahnya.
Must-Watch Video