Entah dari perasaan atau pengalaman yang berharga.
Buat gadis berusia 23 tahun, tidak terjangka dek akal untuk dapat "memecahkan" satu laporan penting.
Masih segar di ingatan, bermula tanpa ilmu penuh di dada dalam salah satu sukan yang dicintai oleh rakyat Malaysia, hanya memakan masa empat purnama, satu berita dikeluarkan berjaya mencipta gempar dalam kalangan pencinta sukan badminton..
Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei, yang dipasangkan sejak 2016, seolah-olah menemui jalan buntu untuk memperbaiki prestasi dan mengambil jalan perpisahan pada Januari 2023.
Dengan merekodkan beberapa siri tewas pada awal kejohanan, itu adalah keputusan terbaik -- menurut mereka.
Berita itu juga memberi episod patah hati kepada penyokong DinFei yang tanpa jeda memberikan sokongan..
Namun, 31 Mei jadi tanggal istimewa apabila keduanya kembali bertaut dan jumpa sinar untuk bergandingan semula di dalam gelanggang.
Iya, berbalik pada hal perasaan...
Menggebu dan bangga terasa.
Bukan kerana diri ini dapat 'scoop' laporan penting itu, tapi lebih kerana aku dapat sekurang-kurangnya membuktikan yang aku layak untuk masuk dalam dunia laporan badminton dan menyajikan berita yang dunia luar ingin tahu..

Sejak dari itu, semangat dan motivasi untuk terus menjadi orang pertama yang memecahkan ruyung masih berkobar dalam hati tetapi hanya saja masih belum menemui jalan itu.
Yang lebih penting bagiku ketika ini adalah melaporkan setiap satu laporan yang berkualiti dan telus.
Mereka di luar layak mendapatkan itu.
Bukan cebisan laporan yang menggelapkan mata serta berunsur berat sebelah.
Yang mungkin hanya memberi keuntungan kepada "sesuatu pihak".
Setakat ini, itu saja yang ingin dikongsi,
Dalam nukilan pertama,
Yang mungkin akan kubaca lagi di lain hari.