BADMINTON
Hafiz Hashim: Pemain remaja BAM kurang pendedahan kejohanan
Bekas juara Seluruh England, Hafiz Hashim, mengakui kepuasan bekerja mendorongnya untuk melepaskan jawatan di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 31 Disember lalu.
Hafiz meninggalkan peranannya selepas lima tahun bertindak sebagai jurulatih B-15 kebangsaan, secara tidak langsung membangkitkan soal hala tuju BAM dalam pembentukkan pemain di peringkat remaja.
"Apa yang saya nampak, mungkin daripada segi kepuasan kerja kerana apa saya nampak di situ, pemain B-15 kekurangan kejohanan.
"Oleh itu, saya nampak karier kejurulatihan saya tidak dapat berkembang lebih pesat.
"Jadi saya rasa ini masa yang tepat untuk saya berhijrah," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Berbekalkan pengalaman sebagai bekas pemain dan jurulatih, dia menyimpan hasrat untuk mengendalikan skuad senior jika diberi peluang pada masa hadapan.
"Tapi saya tidak menolak kemungkinan untuk kembali menyertai skuad kebangsaan jika menerima tawaran pada masa depan.
"Saya harap satu masa nanti, saya dapat melatih pemain lebih senior untuk berkongsikan pengalaman," katanya.