BADMINTON
Gold Coast 2018: Emas tetap jadi buruan Vivian
Biarpun tidak diletakkan sebagai prospek penyumbang pingat emas dalam temasya Gold Coast 2018, pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo, tetap optimis untuk mempertahankan gelaran juara Sukan Komanwel Glasgow, empat tahun lalu biarpun dengan rakan gandingan baru, dari 4 hingga 15 April ini.
Tanpa Woon Khe Wei yang dilanda kecederaan, Vivian digandingkan dengan Chow Mei Kuan dan berharap mampu mengulangi magis yang sama di Glasgow.
Biarpun baru digandingkan sejak awal bulan ini, mereka menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mara ke perlawanan akhir Kejohanan Cabaran Antarabangsa Vietnam minggu lalu sebelum tumpas kepada Kim Ha Na-Lee Yu Rim dari Korea Selatan.
Ironinya, ini merupakan kali ketiga mereka digandingkan buat sementara waktu, kali pertama adalah pada 2013 dan kali kedua ketika beraksi dalam Kejohanan Masters Malaysia 2017.
"Kejohanan Cabaran Antarabangsa Vietnam minggu lalu adalah aksi pemanas badan yang baik sebagai persiapan ke Sukan Komanwel.
"Saya fikir gandingan saya dan Mei Kuan semakin baik dan kami tidak sabar untuk beraksi di Gold Coast," katanya.
Vivian juga secara peribadi mahu mempertahankan emas di Gold Coast bagi menutup mulut pengkritik kerana bergelut dengan masalah prestasi bersama Khe Wei.
"Saya fikir apa sahaja boleh berlaku di Gold Coast.
"Inilah istimewanya dalam badminton, apabila kamu beraksi baik pada hari pertandingan, kamu boleh menang.
"Jadi, selagi kami melakukan yang terbaik, keputusan akan tiba," katanya lagi.
Bagi skuad beregu campuran pula, mereka berpeluang untuk menjadi penyumbang emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast nanti.
Salah seorang pemain, Shevon Lai, tidak menyembunyikan impian mahu melihat pertembungan sesama pemain Malaysia di pentas akhir dengan bertemu satu lagi beregu negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
"Bagi kami, ia akan menjadi pencapaian terbaik sekiranya mara ke final tetapi melihat kepada lawan, ia bukan mudah. Ada beberapa beregu yang sangat kuat.
"Bagaimanapun, kami masih berpeluang untuk ke final. Itu sasaran utama kami," ujar Shevon.
Namun, halangan utama mereka adalah gandingan dari England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock, memandangkan pasangan suami-isteri itu baru sahaja menumpaskan mereka dalam pusingan pertama Kejohanan Seluruh England, tempoh hari.
"Kami sangat gembira kerana BAM memberikan kami peluang untuk membawa nama Malaysia dalam Sukan Komanwel.
"Kami akan cuba melakukan yang terbaik dan berjuang untuk mendapatkan pingat," tambahnya.