Pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei, berpuas hati dengan pretasi gandingan barunya, Choong Hon Jian, selepas melalui beberapa kejohanan bersama pemain berusia 22 tahun itu.

Sze Fei, yang sebelum ini bergandingan dengan Nur Izzudin Rumsani, berhasil membimbing Hon Jian layak ke final Cabaran Antarabangsa Thailand pada bulan lalu

Bagaimnanapun, pemain berusia 25 tahun itu berasakan masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki mereka jika ingin menduduki kelompok 50 beregu terbaik dunia.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan prestasi Hon Jian tetapi saya tidak berpuas hati dengan prestasi saya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz.

"Saya rasa saya boleh buat lebih baik lagi, terutama daripada segi perancangan permainan kerana dia sudah lama tidak bermain dalam acara beregu, jadi kami perlu fokus ke arah itu.

"Antaranya ketika mata-mata penting, kami masih belum dapat ketenangan kerana kami masih tidak cukup yakin untuk menghadapinya.

"Jadi, kami perlu berusaha untuk mencari penyelesaian kepada masalah itu," katanya.