BADMINTON

Gaji RM700, bayar motor RM300, makan kongsi -- Nur Izzuddin Rumsani

Muzaffar Musa 09/02/2025 | 05:38 MYT
Pemain beregu badminton nombor dua dunia, Nur Izzuddin Rumsani, kini sedang mengecap kenikmatan di pentas tertinggi sukan itu.
Bagaimanapun, ramai tidak tahu keperitan yang pernah dilalui pemain berusia pemain berusia 27 tahun itu sebelum bergelar jaguh elit dunia bersama pasangannya, Goh Sze Fei.
Tidak seperti kebanyakan pemain elit lain, Nur Izzuddin pernah ditolak daripada pemilihan untuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan hanya menyertai skuad kebangsaan pada usia 18 tahun.
Dia juga terpaksa berkelana dari Muar ke Kuala Lumpur untuk menyertai Kelab Badminton Jaguh Tangkis, di mana dia menyertai pelbagai kejohanan tempatan di bawah bimbingan Hafiz Hashim sebelum mendapat tempat dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
"Ketika zaman itu, makan kami kongsi sekali empat orang satu rumah. Gaji ketika itu RM700 sebulan dan RM300 untuk bayar motor untuk bergerak," katanya dalam satu audiosiar yang diterbitkan dalam saluran Youtube bekas pemain negara, Ameer Zainuddin.
"Bakinya kami kongsi beli beras, nuget dan telur untuk sebulan. Hanya itulah yang kami makan.
"Kalau ada kejohanan, kami akan mencuba untuk bermain dan mendapatkan wang daripadanya.
"Begitulah kisahnya."
Menambah kisahnya menyertai skuad kebangsaan, Nur Izzuddin berkata: "Selepas menyertai sesi pemilihan skuad kebangsaan, saya dijangkiti demam denggi dan hanya terbaring di rumah selama dua minggu.
"Kemudian, bapa saya memeriksa surat khabar untuk melihat senarai nama yang terpilih dan nama saya tiada.
"Saya sudah mula mahu mendaftar diri untuk melanjutkan pelajaran tetapi keesokan harinya, bapa saya menelefon memaklumkan nama saya ada dalam kemaskini terbaru dalam akhbar. Hanya ada nama saya, mungkin tambahan atau tertinggal, saya tidak tahu.
"Ia membuatkan saya sebak," katanya.
#badminton #BAM #Ameer Zainuddin #Nur Izzuddin Rumsani #Pesatuan Badminton Malaysia
;