Final Jelajah Dunia: Yakini keupayaan Lee Zii Jia asalkan mental kuat
Shaiful Shamsudin
Disember 10, 2024 17:26 MYT
Disember 10, 2024 17:26 MYT
Berbekal mental yang ampuh, Lee Zii Jia mampu menghadapi apa jua rintangan dalam karier profesionalnya.
Tetapi itu semua bergantung kepada dirinya sendiri sambil memberi fokus kepada ketenangan permainannya.
Ia ibarat amanat terakhir daripada Wong Tat Ming yang bakal berpisah dengan anak didiknya itu sejurus kempen Final Jelajah Dunia BWF di Hangzhou yang bermula esok berakhir.
Tatkala kalah-menang sememangnya menjadi adat permainan, Tat Ming berharap ia harus dikekalkan dalam konteks positif.
"Usah biarkan kemenangan atau kekalahan lalu membebankannya.
"Setiap kemenangan adalah pengalaman, bukannya beban sementara kekalahan adalah pengajaran, bukan kemunduran. Setiap perlawanan adalah cabaran dan peluang baru.
"Dia perlu bertenang dan fokus," katanya yang menyertai Team LZJ pada pertengahan tahun lalu.