Pemain beregu campurna negara, Toh Ee Wei, berterima kasih kepada jurulatih, Nova Armada, atas ilmu yang diberikan kepada dirinya dan pasangan, Chen Tang Jie sehingga berjaya bergelar naib juara Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF yang berlangsung di China, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei, melangkah ke final untuk bertemu wakil tuan rumah, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, di Pusat Gimnasium Sukan Olimpik Hangzhou.

Mempamerkan aksi cukup mengagumkan, sebelum terpaksa akur dengan kekalahan 18-21, 21-14, 18-21.

Menerusi X, Ee Wei, menjelaskan ilmu yang diberikan oleh jurulatih, Nova Armada, adalah faktor mereka berjaya melangkah ke tahap ini.

"Terima kasih diucapkan kepada jurulatih saya, menghargai segala ilmu yang telah dicurahkan kepada kami, kami akan berlatih dengan lebih keras dan berjuang sekali lagi.

"Terima kasih juga kepada seluruh penyokong Malaysia, kami memohon maaf kerana tidak menang perlawanan itu, tetapi anda semua cukup mengagumkan."


Bergelar naib juara membenarkan Tang Jie-Ee Wei membawa pulang wang hadiah bernilai ASD100,000 (RM445,089).