Jaguh beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, hampir melakar sejarah untuk bergelar juara, namun ditewaskan oleh pilihan kelapan kejohanan, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, dalam aksi akhir Badminton Final Jelajah Dunia BWF di Hangzhou, sebentar tadi.
Wakil tuan rumah terlebih dahulu berada di depan 10-7 tetapi tiada jalan mudah buat mereka untuk terus kekal mendahului kedudukan apabila pilihan ketiga kejohanan merapatkan jurang permainan 14-14 menyukarkan dominasi di set pertama.
Pertarungan epik itu menyaksikan pemenang pingat emas sukan Olimpik Paris 2024 meraih kemenangan pertama 21-18 dalam tempoh 28 minit di set pertama.
Memasuki set kedua, gandingan di ranking kelapan dunia itu bermula garang tatkala pantas mengutip 10 mata untuk memimpin permainan, sekali gus memberi tekanan kepada Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.
Tanpa melengahkan masa, beregu campuran nombor satu negara itu menggagalkan harapan gandingan di ranking ketiga itu bergelar juara apabila tidak memberikan sebarang ruang buat mereka mengumpul mata.
Penguasaan penuh 21-14 di set kedua menghidupkan peluang Tang Jie-Ee Wei untuk menempa kejayaan sulung di pentas berprestij tersebut ketika permainan diteruskan dengan set penentuan.
Pukulan demi pukulan dilakukan oleh kedua-dua gandingan memberikan senaman jantung kepada peminat yang menonton perlawanan itu tatkala memperaga momentum terbaik untuk menentukan siapakah pemenang aksi itu.
Zheng Si Wei semestinya mahu mengakhiri permainan tersebut dengan kemenangan sebagai hadiah persaraan terbaik, namun serangan demi serangan oleh wakil Malaysia menganggu pasangan China itu untuk berada di depan.
Detik kejayaan Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong tiba sewaktu pukulan semula Toh Ee Wei terkena jaring, sekali gus berhasil memenangi set penentuan 21-17 dan membawa pulang wang tunai kemenangan sebanyak $210,000 (RM934,688), manakala Tang Jie-Ee Wei meraih $100,000 (RM445,089).
Najmi Iman
Sun Dec 15 2024