Final Jelajah Dunia BWF: Tang Jie-Ee Wei raih kemenangan pertama tumbangkan pasangan ternama Jepun
Muzaffar Musa
Disember 14, 2023 20:29 MYT
Disember 14, 2023 20:29 MYT
Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menumbangkan pasangan ternama dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, sekali gus meraih kemenangan pertama dalam Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF di Hangzhou, China sebentar tadi.
Selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, semalam, ramai menjangkakan pasangan negara itu akan pulang lebih awal dengan kekalahan kedua, apatah lagi mereka tewas mudah 12-21 dalam set pertama.
Tang Jie dan Ee Wei tewas kedua-dua perlawanan terakhir bertemu lawan berkenaan tetapi permainan sebenar mereka bermula dalam set kedua, di mana mereka lebih banyak menguasai permainan sebelum mencatatkan kemenangan 21-16.
Aksi kian sengit dalam set penentuan dan selepas kedudukan terikat 2-2, Tang Jie dan Ee Wei tidak pernah ketinggalan sebelum mengesahkan kemenangan 21-16 selepas secara keseluruhan bertarung selama 61 minit.
Kemenangan itu mencerahkan semula peluang mereka untuk ke pusingan berikutnya menjelang aksi terakhir peringkat Kumpulan A berdepan wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, esok.