Final Jelajah Dunia BWF: Soon Huat fokus ulangi ke separuh akhir, Sze Fei buat persiapan rapi
Shaiful Shamsudin
Disember 2, 2024 18:28 MYT
Disember 2, 2024 18:28 MYT
Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat, menyasarkan sekurang-kurangnya separuh akhir dalam Final Jelajah Dunia BWF yang akan bermula Rabu depan.
Dalam empat kali percubaan sebelum ini, Soon Huat bersama pasangannya, Shevon Lai, belum pernah layak ke final, dengan paling jauh hanyalah separuh akhir.
Dan Soon Huat juga menyifatkan prestasi mereka tahun ini agak baik dengan dua kejuaraan dalam Jelajah Dunia.
Namun, cabaran getir harus ditempuhi di Hangzhou dan jika muncul juara, ia adalah bonus.
"Kami beri fokus untuk melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu.
"Masuk final adalah bonus buat kami," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Sementara itu, Goh Sze Fei yang turut akan bertanding enggan hanya tertumpu kepada gandingan China yang mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri.
Sebaliknya, Sze Fei berharap dia dan Nur Izzuddin Rumsani dapat mempersiapkan diri secukupnya demi menghadapi setiap lawan yang ada.
"Cabaran dari tuan rumah menuntut kami agar melakukan persiapan rapi.
"Kami perlu bekalkan persiapan itu bermula dari sini," katanya pula.