Final Jelajah Dunia BWF: Aaron-Wooi Yik enggan terbawa-bawa status juara dunia

Muzaffar Musa
Disember 4, 2022 20:55 MYT
Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, enggan terbawa-bawa dengan status juara dunia menjelang Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF di Bangkok, Thailand bermula Rabu ini.
Sebaliknya, mereka mahu melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan agar dapat melengkapkan musim 2022 dengan kecemerlangan.
Aaron, yang ditemui Astro Arena di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) hari ini, berkata: "Saya rasa gelaran itu sudah berlalu buat kami, setiap kejohanan akan bermula dari awal semula.
"Kami tidak mahu memberikan tekanan buat diri kami hanya kerana kami juara dunia.
"Kami hanya mahu buat yang terbaik setiap kali turun ke gelanggang dan tiada sebarang sesalan mengenainya," katanya.
Wooi Yik, dalam pada itu, menambah: "Sasaran utama kami sememangnya untuk ke final atau bergelar juara.
"Kami sudah melakukan persiapan sejak sekian lama, jadi inilah masanya untuk kami mengeluarkan prestasi terbaik kami dengan sehabisnya."
#badminton #Aaron Chia #Soh Wooi Yik #Final Jelajah Dunia BWF
;