Fazriq Razif pilih fokus beregu lelaki

Shaiful Shamsudin
Julai 24, 2022 19:48 MYT
Muhammad Fazriq Mohamad Razif sedia memberi tumpuan penuh kepada acara beregu lelaki selepas diserap ke skuad senior di bawah kendalian Rexy Mainaky.
Sebelum ini, anak kepada legenda badminton Malaysia, Razif Sidek, itu beraksi dalam dua acara iaitu beregu lelaki dan perseorangan lelaki.
Pemain berusia 18 tahun itu sedang mempersiapkan diri menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang akan membuka tirai hujung September depan sebelum menghadapi Kejohanan Dunia Remaja terakhirnya, bulan berikutnya.
"Latihan peringkat atas sangat keras tapi saya kuatkan semangat sebab saya ingin menjadi pemain yang bagus pada masa akan datang.
"Sukma untuk saya persiapkan diri sebelum ke Kejohanan Remaja Dunia.
"Saya harap pamer persembahan baik dalam kedua-dua kejohanan.
"Saya mahu dapat juara dan saya hanya mahu berikan yang terbaik dan dapatkan keputusan yang baik," katanya dalam satu majlis penajaan di ibu negara, hari ini.
Dalam masa sama, perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini Azman, apabila menerima jurulatih baru, James Chua, yang menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Isnin lalu.
Siti Nurshuhaini mempunyai dua misi penting pada tahun ini dalam Sukma dan Kejohanan Dunia Remaja terakhirnya di Sepanyol.
"Kami dalam proses biasakan dengan latihan di bawah James.
"Program latihannya mungkin boleh bawa perubahan daripada segi permainan.
"Dia tengah fokus cara permainan kami," katanya.
Dua atlet muda negara itu dilantik sebagai duta Kejohanan Badminton Remaja yang diadakan buat kali pertama tahun ini apabila bakal membabitkan tujuh pusingan di tujuh negeri dalam misi melahirkan lebih ramai pelapis.
#badminton #BAM #Beregu lelaki