BADMINTON

Fazriq Razif nilai semula keupayaan selepas kegagalan Masters Thailand

Shaiful Shamsudin 02/02/2025 | 11:22 MYT
Tersingkir seawal pusingan pertama Masters Thailand minggu lalu memberi tamparan hebat kepada beregu muda negara, Fazriq Razif, apabila ditundukkan gandingan Singapura, Loh Kean Hean-Howin Wong.
Tetapi anak legenda badminton kepada Datuk Razif Sidek itu bertekad melakukan bedah siasat bagi memperbaiki dan meningkatkan prestasi bersama rakannya, Bryan Jeremy Goonting.
"Persembahan kami dalam Masters Thiland kurang memuaskan.
"Kami harus bincang dengan jurulatih dan bertindak balas tentang apa yang perlu diperbaiki.
"Ke depan kami mengharapkan (prestasi) yang lebih bagus," katanya di Nadi Arena.
Fazriq turut memasang impian untuk menjadi beregu lelaki setaraf pemain utama negara seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan percaya memerlukan masa untuk terus menggilap sentuhannya bagi menembusi kelompok 50 terbaik dunia.
"Memang ada jurang dengan pemain handalan terutama daripada segi pengalaman.
"Sasaran saya dalam setahun dua lagi saya mampu sebaris mereka. Sudah tentu ambil masa untuk janu mengatasi mereka tetapi kalau dapat dekat dengan tahap permainan mereka, ia sudah cukup bagus," katanya lagi.
#badminton
;