BADMINTON
Ee Yi sahut cabaran BAM
Pemain beregu lelaki negara, Teo Ee Yi, menyahut cabaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang membawa masuk pasangan Nur Azriyn Ayub dan Muhd Arif Latif bagi menghadirkan persaingan sengit antara mereka merebut slot ke Piala Thomas, Mei depan.
Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, membuat keputusan membawa masuk beregu berkenaan, selain Lim Khim Wah, kerana tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan Ee Yi bersama Ong Yew Sin.
Ee Yi tidak menolak aksi mereka agak hambar ketika ini, apatah lagi selepas tewas kepada beregu profesional negara, Azriyn dan Arif, dalam separuh akhir kejohanan peringkat kebangsaan.
Namun, juara Terbuka New Zealand 2017 ini menganggap kemasukan mereka mampu memberi persaingan positif, sekali gus mencabar kemampuan masing-masing untuk terus memperbaiki prestasi.
"Buat masa ini, kami perlu mengambil perkara ini sebagai perkara positif dan berusaha untuk mempamerkan persembahan cemerlang dalam kejohanan akan datang," katanya.
Ee Yi tidak berasakan peluang mereka untuk ke Piala Thomas bakal terjejas dengan kehadiran Azriyn dan Arif kerana persiapan rapi telah dijalankan.
Namun, ia terpulang kepada BAM untuk menilai sendiri dan mereka menerima setiap keputusan yang bakal dimuktamadkan.
"Saya yakin akan bersama Yew Sin untuk beraksi dalam Piala Thomas tetapi setiap keputusan akan dibuat oleh BAM. Kami akan terus berusaha," katanya lagi.