BADMINTON
Chong Wei mahu pastikan di tahap 100 peratus terlebih dahulu
Perseorangan muda negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin, menyifatkan peranan kecilnya membantu Datuk Lee Chong Wei berlatih di gelanggang untuk misi membuat kemunculan semula sebagai satu penghormatan.
Selepas rawatan kanser hidung, Chong Wei lebih banyak menjalani latihan tertutup.
Selain sesi singkat di gelanggang, sebilangan besar waktu program pemulihannya adalah mengutamakan pemantapan fizikal.
Difahamkan, Chong Wei semakin menyesuaikan diri dengan pergerakan dalam gelanggang baru-baru ini meskipun terbit batasan.
Sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pagi tadi menyaksikan Aidil dan seorang lagi pelatih, Ziyad Md Tah, terlibat untuk membantu Chong Wei.
"Saya dapat menimba pengalaman daripada Chong Wei, misalnya cara permainannya.
"Meskipun dia belum cergas lagi tetapi dia masih boleh berikan saingan.
"Ketika saya menghadapinya, pukulan dan tekanan yang diberikannya di gelanggang tidak sama seperti yang dilihat di luar," kata Aidil.
Bekas pemain nombor satu dunia berkenaan kesuntukan masa untuk membuat penampilan di pentas Piala Sudirman bulan depan.
"Fizikal saya memberi isyarat bahawa saya belum pulih sepenuhnya. Kalau setakat (menyertai kejohanan) dan mara ke pusingan satu-dua, baik tidak payahlah buat saya.
"Saya mahu benar-benar pulih terlebih dahulu dan kalau saya berasa dalam keadaan baik, maka saya akan turun beraksi.
"Kalau fizikal saya tidak di tahap 100 peratus dan hanya 50 peratus, saya rasa tidak perlulah untuk saya (menyertai kejohanan)," jelas Chong Wei.