BWF gantung Liew Daren, Jerry Gan kerana pertaruhan, atur perlawanan
Ammar Hakim
Disember 20, 2024 23:49 MYT
Disember 20, 2024 23:49 MYT
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah menggantung bekas pemain perseorangan lelaki negara Liew Daren dan bekas penganalisis prestasi Institut Sukan Negara (ISN) Jerry Gan, selepas mereka didapati bersalah terbabit dalam kegiatan pertaruhan dan pengaturan perlawanan.
Daren dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan manakala Jerry Gan digantung selama tiga bulan.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, BWF mengesahkan Daren terbabit dalam aktiviti pertaruhan sejak 2018 dan berusaha menghalang siasatan dengan menyembunyikan maklumat mengenai perlawanan badminton bermula pada 2021.
Menurut BWF keputusan itu diumumkan oleh Panel Pendengaran Bebas (IHP) selepas mendengar kes pada 15 November lalu.
Sementara itu, Jerry Gan mengakui penglibatannya dalam pertaruhan dan kegagalannya melaporkan pembabitan Daren dalam kegiatan tersebut.
"Bukti yang dikemukakan termasuk rekod panggilan telefon, dokumen kewangan, dan perbualan yang menunjukkan penglibatan mereka dalam aktiviti haram ini," menurut BWF.-Awani