BADMINTON
Bukit Gambir senaraikan lima pemain import dari Thailand
Lima pemain import dari Thailand akan menjadi kekuatan Kelab Badminton (KB) Bukit Gambir yang bersedia memberi saingan sengit dalam Kejohanan Junior Purple League 2017 meskipun kelab itu baru sahaja ditubuhkan awal tahun ini.
Bukit Gambir merupakan platform baru buat pemain-pemain muda menonjolkan bakat, khususnya dalam saingan Junior Purple League, yang bermula dengan pusingan kelayakan esok.
Kelab itu menaruh keyakinan terhadap kekuatan pasukan apabila dimantapkan dengan kehadiran lima pemain dari Thailand dan juga seorang dari China yang bakal menyaksikan mereka antara yang mampu memberi saingan sengit.
Enam belas pemain kesemuanya baru sahaja memulakan latihan secara intensif sejak dua minggu lalu di bawah bimbingan Richard Chang.
"Kami sudah membuat persiapan sejak dua minggu lalu.
"Kami mempunyai pemain dari Thailand dan China. Kami membuat persiapan untuk menghadapi pusingan kelayakan, esok," ujar ketua jurulatih Bukit Gambir itu.
Sasaran awal yang diletakkan kelab itu adalah sekurang-kurangnya mampu bermain dalam divisyen dua.