BADMINTON
Berpasukan Asia: Skuad wanita negara tumpas 0-3
Pasukan badminton wanita Malaysia terkandas di peringkat separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia berikutan tumpas ketiga-tiga perlawanan awal kepada Korea Selatan di Pusat Konvensyen Setia City, sebentar tadi.
Pertarungan itu pada asalnya dijadualkan petang tetapi diadakan pagi tadi selepas Jepun memilih untuk tidak mempertahankan kejuaraan apabila bertindak menarik diri pada saat-saat akhir atas sebab kecergasan pemain.
Juara Sukan SEA 2019, S. Kisona, terlebih dahulu menggalas cabaran negara dalam acara perseorangan tetapi ternyata sukar untuk menggugat Sim Yujin S. Kisona apabila tunduk 16-21, 17-21.
Iklan
Begitu juga dengan beregu bidan terjun, Valeree Siow-Pearly Tan.
Walaupun mencipta dua kemenangan ketika menundukkan Jepun dan India dalam Kumpulan Y, kali ini mereka terpaksa akur dengan kehebatan Baek Ha Na-Seong Seung Yeon.
Ha Na, yang kerap digandingkan dengan Lee Yu Rim pada tahun lalu, tidak berdepan masalah untuk memberi saingan bersama Seung Yeon dalam saingan ini.
Dia memastikan mata-mata penting dikutip dalam kemenangan set pertama 21-15 yang menyaksikan Valeree-Pearly menghadiahkan mata-mata mudah kerana tidak dapat menjangkakan pukulan ke belakang garisan oleh lawan.
Walaupun beregu Malaysia itu cuba memberi saingan di pertengahan set kedua, tetapi lawan mereka sentiasa selangkah di hadapan untuk menang 21-14.
Sebagai percaturan ketiga hari ini, Siti Nurshuhaini Azman tidak memberi laluan mudah kepada Lee Se Yeon biarpun gemuruh pada awal saingan untuk tunduk 11-21.
Tetapi dia mula mempamerkan keyakinan apabila sentiasa mendahului Se Yeon dalam set kedua untuk kemenangan 21-15 sambil lawannya kelihatan mula dihambat keletihan.
Namun, beberapa kesilapan pemain berusia 17 tahun itu pada awal set ketiga membenarkan perseorangan Korea itu mengutip enam mata berturut-turut untuk mendahului 8-2.
Walaupun cuba bangkit mengejar mata demi mata selepas ketinggalan 6-14, ia sekadar melengahkan kemenangan 21-13 milik Korea, seterusnya bakal berhitung dengan Indonesia dalam final esok.
Kejayaan skuad negara ke separuh akhir mengulangi edisi 2019 selain layak ke Piala Uber di Thailand Mei depan.
Must-Watch Video