BADMINTON
Beri saya 100 hari -- Presiden baru BAM sasar emas pertama dalam Sukan Olimpik 2028
Presiden baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, meletakkan untuk sasaran pemain negara meraih pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2028.
Matlamat itu bukan sekadar impian peribadinya, sebaliknya turut menjadi cita-cita seluruh rakyat Malaysia, yang sudah lama menantikan detik bersejarah itu.
Tengku Zafrul memohon diberikan tempoh 100 hari untuk mendengar, memahami dan meneliti secara menyeluruh setiap isu yang dihadapi sebelum mengumumkan pelan tindakan strategik bagi membawa BAM ke era baru.
Iklan
Menurutnya, BAM bukan mengejar pingat semata-mata, malah mahu menjulang nama Malaysia sebagai kuasa besar badminton dunia melalui pendekatan holistik dan inklusif.
Selain itu, Tengku Zafrul menyeru sokongan padu daripada semua pihak, termasuk kerajaan, ibu bapa, komuniti badminton dan rakan media terhadap kepimpinan baharu BAM.
"Saya pasti ramai yang mahu tahu visi saya untuk BAM," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Saya minta kalau boleh berikan saya 100 hari untuk saya bertemu dan mengadakan libat urus secara mendalam dengan semua pihak berkepentingan seperti pemain, tidak kisah senior atau junior, barisan kejurulatihan, persatuan, para penaja dan semua yang ada dalam agenda badminton negara kita."
Must-Watch Video