Juara dunia dua kali Kento Momota berkata dia akan bersara daripada badminton antarabangsa ketika usianya kini 29 tahun, dan mengakui prestasinya tidak lagi sama sejak kemalangan kereta yang serius empat tahun lalu.
Momota kelahiran Jepun pernah menjadi raja badminton yang tidak boleh disangkal lagi keupayaannya, memenangi 11 kejuaraan pada 2019 dan hanya tewas enam daripada 73 perlawanan yang disertainya tahun itu.
Tetapi pada Januari 2020 kenderaan yang membawanya ke lapangan terbang Kuala Lumpur terbabas beberapa jam selepas dia memenangi Malaysia Masters.
Pemandu itu terbunuh dan Momota memerlukan pembedahan untuk membaiki soket matanya yang retak.
Apabila dia kembali selepas setahun Momota gagal untuk mendapatkan semula prestasi cemerlang yang membawanya ke nombor satu dunia, walaupun dia memenangi dua lagi gelaran.
"Pada masa kemalangan itu, saya tidak boleh menipu jika saya berkata kepada diri sendiri, 'Kenapa saya?'," kata Momota kepada pemberita di Tokyo pada Khamis.
Momota yang kini menduduki tempat ke-52 dan terlepas peluang ke Sukan Olimpik Paris,akan bersara daripada pasukan kebangsaan Jepun selepas beraksi di Piala Thomas di China hujung bulan ini.
Selepas itu dia hanya akan bermain dalam pertandingan domestik di Jepun dan bukannya dalam Jelajah Dunia badminton.
"Terdapat banyak masa sukar selepas kemalangan jalan raya itu," tambah Momota.
“Saya cuba kembali kepada cara saya bermain melalui percubaan dan kesilapan, tetapi terdapat jurang antara perasaan saya dan badan saya.
"Itu berterusan dan saya tahu saya tidak akan dapat kembali ke tahap di mana saya bersaing dengan yang terbaik di dunia."
Zaki Zainal
Thu Apr 18 2024