Perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching, memilih untuk menjalani sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, meskipun diberi pilihan oleh jurulatihnya untuk mengambil cuti bagi sambutan Tahun Baru Cina esok.

Jelasnya, dia mengambil keputusan tersebut kerana berasakan pengorbanan untuk negara sangat penting lebih-lebih lagi dengan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang akan bermula 13 hingga 18 Februari ini.

"Saya rasa teruja untuk beraksi dalam acara berpasukan. Saya harap dapat terjemahkan prestasi dalam latihan.

"Ini satu kejohanan yang amat mencabar.

"Lagipun saya gembira kerana memulakan Tahun Baru Cina dengan latihan. Saya rela korbankan perayaan kali ini," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Sementara itu, Siti Nurshuhaini Azman menjangkakan saingan lebih kompetitif bakal ditampilkan dalam saingan BATC kali ini setelah mendapat sentuhan rakan sepelatih dari tiga pemain Myanmar, Hein Ttut, Zaw Lin Htoo dan Nyan Shaine Lin.

"Kami dapat rentak permainan lelaki yang mungkin menyerupai pemain wanita di negara luar.




"Kami dapat menguji beregu berbeza-beza," kata perseorangan wanita negara itu.

Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, pula bersedia diturunkan sebagai pilihan pertama kejohanan andai sebarang kecederaan menimpa Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong dalam berkenaan.

Dia turut akui bertuah kerana berpeluang menggantikan Justin Hoh, secara tidak langsung memberi ruang untuk dirinya mempamerkan kebolehan sebenarnya di pentas tersebut.

"Saya sentiasa bersedia sekiranya terdapat kecederaan dalam kem negara.

"Jurulatih sudah pun memberitahu perancangannya awalnya sebelum kecederaan menimpa Justin Hoh," katanya.