Menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam bermula Selasa ini, ada berita baik buat kem lelaki negara apabila Haikal Nazri dilaporkan tidak lagi mengalami kecederaan membimbangkan.

Beregu lelaki negara itu mengalami kecederaan buku lali sehingga terpaksa menarik diri dalam pusingan pertama Masters Thailand hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Syifa Nasir, pemain berusia 21 tahun itu berkata kecederaan itu bukan lagi satu kebimbangan.

Tambahnya, dia kini optimis mampu membalas kepercayaan barisan kejurulatihan, yang memilih untuk menyenaraikannya bersama gandingannya, Choong Hon Jian, dalam kejohanan itu.

"Alhamdulillah, buku lali saya semakin pulih hari demi hari. Buat masa ini, saya berlatih dan dalam masa sama melakukan pemulihan.

"Doktor cakap ada sedikit koyakan tetapi kecil dan tidak serius, jadi saya sempat untuk melakukan persiapan sebelum BATC.

"Saya tidak jangka disenaraikan kerana kalau diikutkan, masih ada pemain lebih senior.

"Jadi, apabila mendapatkan peluang seperti ini, pada awalnya saya agak ragu tetapi hari demi hari kecederaan saya semakin pulih dan saya rasa saya perlu mengambil peluang ini," katanya.