Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, berkata badan induk itu sentiasa terbuka untuk menerima kembali perseorangan wanita muda negara, K. Letshanaa.
Letshanaa memilih untuk bergerak secara profesional sejak awal tahun ini berikutan kecederaan belakang selain memasang misi peribadi untuk layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Pemain berusia 19 tahun itu memenangi pingat perak Sukan Malaysia (Sukma) Majlis Sukan Negara (MSN) selepas tewas kepada rakan sepasukan dari Selangor, Siti Nurshuhaini Azman, dalam aksi final di Arena Axiata hari ini.
Sebagai rekod, dia juga pernah bergelar juara kebangsaan pada 2018 dan Norza menyifatkan BAM bersifat terbuka seandainya prospek masa depan negara itu mahu kembali berada di bawah naungan mereka.
"Sebagaimana kita semua sedia maklum, BAM merupakan satu organisasi yang terbuka," kata Norza kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz.
"Kami setiap kali akan mengadakan proses pemilihan untuk mengenal pasti mereka yang terbaik di luar sana, terutama buat mereka yang pernah berada di BAM dan meninggalkan kami atas sebab kecederaan atau sebab-sebab lain.
"Kami sentiasa terbuka untuk berbincang seandainya mereka sanggup untuk masuk ke dalam BAM dan memulakan perkhidmatan buat negara," katanya.
Muzaffar Musa
Sat Sep 24 2022