BAM: Aksi V Shem-Wee Kiong paling mengecewakan

Penulis Jemputan
Jun 30, 2018 19:23 MYT
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengakui kurang berpuas hati dengan persembahan wakil negara dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2018 terutama bahagian beregu campuran.
Bahagian itu paling mengecewakan apabila semua tiga wakil, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, terkandas dalam pusingan pertama.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap persembahan mereka yang sebelum ini lebih konsisten berbanding bahagian lain.
Turut mendapat perhatian, aksi beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang tewas dalam suku akhir kepada gandingan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.
"Secara keseluruhan kami tidak berpuas hati dengan persembahan V Shem-Wee Kiong. Ia kerana mereka yang konsisten dalam kejohanan utama gagal untuk beraksi terbaik.
"Kami juga mendapati aksi tidak baik daripada beregu campuran kita," kata Norza selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (C&T), hari ini.
;