Badminton Tertutup Johor: Edisi ke-10 batu loncatan ke peringkat kebangsaan

Shaiful Shamsudin
Februari 5, 2022 21:50 MYT
Presiden Persatuan Badminton Johor (JBA), Mat Rasid Jahlil, menyasarkan Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022 yang akan melibatkan pemain yang berusia B-21 sebagai pentas untuk pemain ke peringkat kebangsaan selain sebagai persiapan menjelang beberapa edisi temasya Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.
Beliau turut mengumumkan kejohanan edisi ke-10 itu bakal dilangsungkan di Dewan NS Sport, Gelang Patah, dengan mempertandingkan sebanyak empat kategori iaitu B-21, B-16, B-14 dan B-12 dalam satu majlis sidang media di Ibis Styles Johor, Iskandar Puteri, hari ini.
“Objektif penganjuran ini adalah untuk mengumpul seberapa ramai pemain di negeri Johor untuk mereka beraksi secara kompetitif. Kejohanan ini juga menjadi pentas buat kami menilai dan memilih pemain untuk mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan.
“Selain itu, ia juga merupakan salah satu persiapan untuk persatuan mendapatkan kelompok pemain yang berpotensi untuk mewakili Johor bagi temasya Sukma memandangkan peserta masih lagi muda dan ada peluang untuk beraksi pada temasya itu kelak,” katanya dalam satu majlis sidang media sambil ditemani Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Nor Syazlan Abd. Razak.
“Pertandingan ini sememangnya sangat membantu pemain-pemain muda di sekitar negeri Johor untuk beraksi secara kompetitif.
"Saya juga percaya terdapat ramai pemain-pemain dariada akar umbi yang sangat berbakat dan mereka perlu didedahkan kepada pertandingan kompetitif seperti ini.
“Sekiranya ingin berjaya, kita amat memerlukan kelompok pemain yang ramai untuk melatih mereka.
"Jadi, kejohanan seumpama ini sangat sesuai untuk mereka mempamerkan potensi dan bakat mereka seterusnya kami dapat melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti,” kata Nor Syazlan.
#badminton #Sukma #Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022
;