Sejarah hitam yang terpahat buat beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, berulang apabila tersungkur hanya dalam pusingan pertama sama seperti Kejohanan Terbuka Malaysia edisi lepas.
Perlawanan tumpuan bagi acara beregu wanita menampilkan pertemuan di antara pasangan negara, Pearly dan Thinaah dengan Liu Sheng Shu -Tan Ning dari China.
Mengimbas kembali pertemuan di antara kedua-dua pasangan beregu itu, Pearly-Thinaah berjaya menewaskan beregu berkedudukan ke-8 dunia tersebut sebanyak dua kali dalam dua pertemuan sebelum ini.
Bagaimanapun, dengan kecederaan yang dialami oleh Thinaah dan beberapa isu yang melanda pasangan itu, kekalahan pada pusingan pertama menjadi titik noktah dalam kempen Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Set pertama dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 bagi acara beregu wanita itu dimulakan dengan aksi saling berkejaran mata sebelum gandingan Pearly-Thinaah merebut mata meletakkan mereka dihadapan.
Namun, momentum yang terbina dari awal perlawanan itu tidak dapat diteruskan selepas mereka acap kali melakukan kesilapan mudah, sekali gus menghukum mereka dengan kekalahan pada set pertama 20-22.
Beralih ke set kedua, tahap mental Sheng Shu/Ning kelihatan sedikit terganggu apabila berjaya menghadiahkan mata ke-11 buat Pearly-Thinaah atas kesilapan mudah yang dilakukan.
Tidak melepaskan peluang, pasangan beregu negara yang kini berada pada ranking ke-12 dunia, terus mengambil kesempatan memungut mata dengan 'smash' tajam yang dilakukan oleh Thinaah.
Bagaimanapun, segala usahanya tidak membuahkan hasil selepas terpaksa akur bahawa mereka tidak mampu memecah Tembok Besar China itu dengan kekalahan 'straight set', 20-22 dan 15-21.
Fatin Ruzaiman
Tue Jan 09 2024