Teka-teki siapa yang bakal mengalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih perseorangan baru Akademi Badminton Malaysia (ABM) bakal terjawab pada Jumaat ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky, yang menjelaskan perbincangan itu sudah memasuki fasa akhir.
Sebelum ini, nama Mulyo Handoyo, satu figura hebat yang pernah melatih juara Sukan Olimpik 2004, Taufik Hidayat, dan ketua jurulatih Denmark, Kenneth Jonassen, dilaporkan berada dalam radar ABM.
Rexy, yang ditemui di ABM, Bukit Kiara hari ini, berkata kedua-dua pihak sudah menyatakan persetujuan tetapi calon berkenaan memohon untuk diberikan sedikit masa sebelum pengumuman rasmi pelantikannya sebagai ketua jurulatih skuad perseorangan lelaki dan wanita negara dilakukan.
Sebagai rekod, posisi itu sebelum ini disandang Hendrawan, yang berkhidmat selaku jurulatih perseorangan lelaki selama 15 tahun sebelum ditamatkan kontrak pada 1 Oktober lalu.
"Bagi bahagian perseorangan, dia akan memegang dua tanggungjawab, iaitu ketua jurulatih perseorangan lelaki dan wanita," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
"Saya akan melakukan rundingan lanjutan dengannya hari ini kerana semalam kami sudah mengadakan perbincangan atas talian.
"Dan apa yang kami tawarkan dengan apa yang dia mahukan, kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan.
"Saya boleh katakan ia sudah 95 peratus pasti dan selepas perjumpaan hari ini, barulah saya boleh mengumumkan siapakah orangnya nanti," katanya.
Dalam perkembangan sama, Rexy turut mengesahkan ABM sudah mencapai persetujuan untuk melantik ketua jurulatih beregu wanita baru bagi menggantikan Hoon Thien How, yang kini bertanggjawab sebagai jurulatih skuad pelapis beregu lelaki.
Bagaimanapun, calon yang terpilih itu belum dapat diumumkan kerana menghormati permintaannya.
"Bagi bahagian beregu wanita, orangnya sudah pasti cuma calon itu belum mahu diumumkan lagi, jadi kami menghormati permintaannya.
"Kami harus menjaga privasinya kerana jika tidak, ia menunjukkan bahawa kita tidak dapat memegang janji dan tidak dapat bekerjasama dengannya," katanya lagi.
Muzaffar Musa
Tue Oct 08 2024